Wan Kuzri Tak Sabar Sarung Jersi Negeri Sembilan
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pemain Negeri Sembilan FC, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal mengakui tidak sabar membantu pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Hal ini dinyatakan beliau selepas disahkan sebagai pemain terbaru Sang Rusa pada Isnin. Meskipun menyertai Negeri Sembilan pada separuh kedua musim 2025/26, Wan Kuzri dipinjamkan ke UM-Damansara United.

Perbezaan corak permainan bola sepak Malaysia bukan halangan buat beliau menyesuaikan diri bersama pasukan Liga A1 Semi-Pro itu. Malah, Wan Kuzri meledakkan empat gol dalam 13 penampilan bersama UM-Damansara.

Atas sebab itu, anak jati Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat itu mahu memanfaatkan peluang menyarung jersi Negeri Sembilan apabila kempen musim 2026/27 bermula.

“Sebenarnya, saya menyertai kelab (Negeri Sembilan FC) di sini pada Januari lalu. Dan saya (sabar) menunggu peluang untuk menyarung jersi ini dan ia (satu) perasaan yang bagus,” katanya.

Jika Kuzri menunjukkan prestasi baik bersama Sang Rusa, tidak mustahil beliau berpeluang mengikut jejak abangnya, Wan Kuzain menyertai kem Harimau Malaya pada masa hadapan.

Wan Kuzain antara 26 pemain yang dipanggil jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.