Wan Kuzri Terkejut Intensiti Bola Sepak Malaysia
MakanBola
UM-Damansara United

Pemain tengah baharu UM-Damansara, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal mengakui terkejut dengan intensiti bola sepak Malaysia.

Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang perbezaan bola sepak Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Kuzri mengakui intensiti bola sepak di Malaysia lebih tinggi berbanding di Amerika Syarikat. Ini berbeza di negara Uncle Sam itu di mana kawalan bola menjadi keutamaan.

“Cara terbaik saya boleh gambarkan (intensiti bola sepak Malaysia) ialah semuanya 100 batu sejam.

“Berbeza di Amerika Syarikat, saya lebih biasa dengan kawalan (bola) dan perkara yang saya boleh lakukan. Itu satu perbezaan halus yang saya perasan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.

Kuzri turut mendedahkan hasratnya bermain di Malaysia mendapat sokongan keluarga termasuk abangnya, Wan Kuzain.

“Mereka amat gembira untuk saya kerana mereka sentiasa tahu impian saya bermain secara profesional. Jadi tidak kira di mana, ia bukan satu halangan,” ujarnya.

Kuzri menyertai UM-Damansara secara pinjaman dari Negeri Sembilan FC sehingga akhir musim 2025/26.

Bekas pemain Akron Zips itu membuat penampilan pertama dalam Liga A1 Semi-Pro ketika menentang Malaysian University FT (MUFT) baru-baru ini.