Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail enggan mengulas kualiti pengadilan aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia antara pasukan itu dan Kuching City FC.
Penang mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu apabila tewas 2-1 secara agregat kepada Kuching City.
Selepas tewas 1-0 dalam aksi pertama pusingan 16, The Cats bangkit meraih kemenangan 2-0 di Kuching. Gabriel Nistelrooy dan Ronald Ngah Wanja mencetak nama sebagai penjaring pasukan itu.
Penang juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Stefano Brundo mengutip kad kuning kedua.
Wan Rohaimi dilihat kurang berpuas hati dengan kualiti pengadilan aksi tersebut. Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.
“Tidak banyak yang saya boleh ulas tapi permainan kami dibunuh. Itu sahaja yang boleh katakan, permainan kami dibunuh,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Kuching City bakal menentang Brunei DPMM FC di peringkat suku akhir. Penang pula meneruskan cabaran dalam saingan MFL Challenge Cup.