Wartawan Colombia telah mendedahkan identiti seorang lagi pemain warisan baharu yang bakal memperkuat pasukan kebangsaan.
Skuad kendalian Peter Cklamovski kini menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru bermula pada Ahad, 20 Mei lalu sebagai persiapan menuju aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Beliau telah memanggil seramai 28 orang pemain pada fasa 1 disusuli 10 orang lagi pemain, majoritinya daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dua lagi ialah Dion Cools dan Hector Hevel.
Berita mengenai pemain warisan baharu Harimau Malaya mula bertiup kencang selepas Cklamovski mengesahkan bahawa ada potensi untuk pasukan kebangsaan mendapat sentuhan pemain warisan baharu.
Ada potensi besar perkara ini (pemain warisan) untuk kem berdepan Vietnam ini akan berlaku. Proses dokumentasi sedang dijalankan dan beberapa pemain akan hadir.
“Kita tidak berada pada situasi yang sesuai untuk mengumumkannya ketika ini tetapi saya boleh jamin bahawa pemain dengan dokumentasi yang betul akan hadir,” katanya ketika pengumuman senarai pemain skuad kebangsaan di Wisma FAM.
Laporan daripada wartawan Colombia, Pipe Sierra mengesahkan bahawa tonggak kelahiran Argentina, Rodrigo Holgado bakal memperkuat Harimau Malaya.
“Pasukan kebangsaan Malaysia menyenaraikan nama Rodrigo Holgado dalam skuadnya.
“Butiran mengenai pasportnya masih belum selesai, tetapi mereka sedang mengusahakan perkara itu di Asia.
“Kelabnya, América telah pun dimaklumkan dan sedang menunggu perkembangan lanjut. Perjalanan akan menjadi sangat jauh jika semuanya selesai buat pemain ini,” ujarnya di laman X.
Setakat ini, masih tiada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung status mana-mana pemain warisan baharu negara.