Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (Kedah FA) terus memperkukuhkan persiapan pasukan itu menghadapi musim 2026/27 dengan mengumumkan Web Impian sebagai penaja digital rasmi.
Pengumuman itu dibuat pengurusan Kedah menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka. Kerjasama ini cukup penting kerana ini membantu pengurusan pasukan utara tanah air itu lebih cakna dengan dunia digital.
“Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) dengan sukacitanya mengumumkan Web Impian Sdn Bhd (Web Impian) sebagai penaja digital rasmi KFA bagi musim 2026/2027, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem digital dan pengalaman penyokong Hijau Kuning.
“Berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan, Web Impian merupakan sebuah syarikat berpengalaman hampir 16 tahun dalam industri internet dan teknologi digital serta diiktiraf sebagai salah satu penyedia digital utama berstatus Malaysia Digital (MD) oleh MDEC.
“Sebagai Managed Service Provider (MSP), Web Impian memainkan peranan dalam membantu dan membimbing organisasi serta perniagaan mengadaptasi perkembangan teknologi web dan internet terkini,” kata pengurusan Kedah dalam satu kenyataan.
Antara manfaat yang bakal diraih menerusi kerjasama Kedah dan Web Impian ialah pembangunan laman web rasmi KFA yang responsif, mesra pengguna dan relevan dengan keperluan dunia bola sepak moden.
Kehadiran laman web rasmi pasukan itu bakal menjadi satu lagi platform digital penting buat para penyokong Hijau Kuning. Ini kerana penyokong boleh mendapatkan segala maklumat seperti perjalanan pasukan, berita, keputusan perlawanan dan kandungan rasmi pasukan itu walau di mana saja mereka berada.
Lebih menarik, kerjasama ini turut bakal membawa aksi Hijau Kuning lebih dekat kepada penyokong tanpa mengira jarak. Web Impian akan menyediakan perkhidmatan siaran langsung secara bayar untuk tontonan (pay-per-view) bagi semua perlawanan Kedah di Stadium Darul Aman, bermula 29 Ogos ini.
Kedah akan membuka kempen Liga A1 dengan menentang Imigresen FC II pada tarikh berkenaan.