Advertisements
Xavi Ingatkan Ronaldo Liga Saudi Tak Semudah Yang Disangka
Dunia
MakanBola
Barca Universal

Ramai menyangka bila Cristiano Ronaldo berpindah ke kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr, liganya lebih mudah berbanding liga-liga Eropah. Tetapi bagi pengurus Barcelona, Xavi, ianya tak semudah seperti disangka semua.

Xavi amat masak dengan perkembangan bola sepak di Timur Tengah. Ini kerana beliau pernah beraksi dengan kelab Qatar, Al-Sadd dari 2015 hingga 2019 dan menjadi pengurus pasukan tersebut dari 2019 hingga 2021.

Walaupun tidak beraksi di liga Arab Saudi, Xavi tahu mereka bukan lawan mudah setiap kali Al-Sadd bertandang ke sana.

“Ronaldo sudah menyertai kelab terbaik di Arab Saudi tetapi ia satu cabaran. Liga ini (Liga Pro Arab Saudi) amat rumit. Saya pernah menentang kelab-kelab ini semasa menguruskan Al-Sadd. Ia amat mencabar,” katanya.

Ketika ini, Barcelona berada di Arab Saudi untuk Piala Super Sepanyol. Mereka bakal turun menentang Real Betis pada awal pagi Jumaat.

Di sebalik pelbagai kritikan terhadap perpindahan yang dibuat legenda Portugal itu ke Arab Saudi, Xavi menyifatkan kritikan sebegini sebagai bias dan hipokrit.

“Kami merupakan profesional dalam sukan ini. Ini satu perniagaan, terdapat konteks yang mendorong kami datang ke sini (Arab Saudi) dan demi kebaikan bola sepak Sepanyol, kami datang.

“Semua ini memberi manfaat kepada kami semua, kelab yang berdepan masalah kewangan akan mendapat wang. Terdapat pelbagai kritikan terhadap Qatar (sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022) tetapi apabila ia dilihat semula, ia tidaklah teruk seperti disangka.

“Arab Saudi mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki tetapi sama juga di Sepanyol, di mana kita mempunyai 200 perkara yang perlu diperbaiki. Semua orang patut layak melihat bola sepak dibawa ke seluruh dunia,” tambahnya.

Barca bakal berdepan musuh ketat Real Madrid di pentas final sekiranya berjaya mengatasi Betis. Ini selepas Los Blancos berjaya mengatasi Valencia menerusi penentuan sepakan penalti.