Xisco Munoz ‘Tabik’ Teto Martin
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz gembira dengan prestasi pemain sayap Sepanyol, Teto Martin.

Pemain berusia 23 tahun menjadi bualan penyokong JDT apabila meledakkan enam gol dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia menentang PDRM FC.

Hatrik berganda bekas pemain CD Tenerife itu memastikan Harimau Selatan meraih kemenangan 10-1. Selain Martin, Manuel Hidalgo dan pemain baharu pasukan itu, Marcus Guilherme turut mencetak nama sebagai penjaring.

Menariknya, aksi ini merupakan aksi pertama Martin beraksi sebagai penyerang di samping Bergson da Silva.

Munoz gembira dengan persembahan Martin lebih-lebih lagi beraksi di posisi berbeza selain posisi sayap.

“Saya amat gembira dengan beliau kerana saya tahu cara beliau bermain setiap hari. Bagaimana beliau berjuang untuk berikan yang terbaik kepada pasukan.

“Kita pasti keyakinannya juga luar biasa. Secara perlahan-lahan beliau akan mendapat lebih banyak minit permainan dan beraksi dengan lebih bagus buat pasukan,” katanya selepas perlawanan.

JDT kini mengalihkan fokus kepada aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 24 Januari.