Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son sempat memberi peringatan usai membantu Vietnam menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Xuan Son sekali lagi menjadi ancaman utama buat benteng Harimau Malaya apabila meledak satu jaringan selain memberikan tekanan berterusan kepada pertahanan Malaysia sepanjang perlawanan.
Menurut Xuan Son yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, tugasnya sebagai penyerang adalah sentiasa bersedia menunggu detik yang tepat untuk menghukum lawan. Baginya, dia tidak perlu mencipta terlalu banyak peluang kerana satu hantaran tepat sudah memadai untuk membuka ruang di dalam kotak penalti.
Xuan Son turut mengakui permulaan perlawanan bukan mudah kerana dia perlu menyesuaikan diri dengan situasi permainan yang sedikit berbeza. Namun, pengalaman serta naluri sebagai penyerang membuatkannya kekal fokus menunggu peluang yang terhidang.
Kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia memanfaatkan hantaran lintang tepat untuk menghasilkan jaringan. Situasi tersebut sememangnya menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh Xuan Son ketika berada di kawasan paling berbahaya.
“Saya hanya perlukan satu bola. Saya tunggu masa yang sesuai. Sejujurnya, kotak penalti adalah kawasan terbaik saya. Jika bola datang ke dalam kotak, saya boleh menjaringkan banyak gol,” jelas Xuan Son dengan penuh keyakinan dalam sidang media selepas perlawanan bertemu Malaysia.
Jaringan itu bukan sahaja membantu Vietnam meraih kemenangan penting di Kuala Lumpur, malah memberikan kelebihan besar menjelang aksi timbal balik di Vietnam pada 19 Ogos ini.
Dengan kelebihan 2-0, Vietnam kini berada dalam posisi lebih selesa, namun Xuan Son dijangka sekali lagi menjadi ancaman utama buat Harimau Malaya yang perlu tampil lebih agresif jika mahu menghidupkan semula peluang untuk mara ke final.