Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menggesa semua penyokong bola sepak tempatan agar percaya dan yakin dengan acuan baharu yang diterapkan ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu, Kim Pan-gon.
Yusoff Mahadi menjelaskan pengendali Harimau Malaya itu pasti akan menilai dan melihat semula aksi persahabatan skuad Harimau Malaya yang lepas bagi merangka strategi dan corak taktikal yang baharu.
“Siapa juga lawan kita, ia bukan aksi yang mudah tetapi kita perlu bersedia. Berdasarkan rekod lepas, kita pernah menentang Bahrain pada aksi persahabatan dan kita harap jurulatih dapat melihat aksi terbabit untuk mencongak strategi baharu.”
“Perlawanan menentang Bahrain dan Turkmenistan pula memang penting seperti yang sudah dinyatakan Pan-gon dengan misi wajib menang. Memang harapan kita untuk layak dan kalau kita tewas, pasti kita tidak akan lolos ke Piala Asia 2023 nanti.”
Dalam pada itu, Yusoff turut menegaskan banyak perubahan yang akan berlaku dalam skuad Harimau Malaya terutamanya dari aspek pemilihan pemain. Bakal ada muka-muka baharu yang akan dipertaruhkan kelak.
“Selepas memperkenalkan barisan kejurulatihan baharu, saya jangka pemain yang dipanggil nanti adalah muka baharu bagi membentuk gandingan lebih ampuh pada aksi kelayakan itu nanti,” kata Yusoff kepada Kosmo.
Yusoff Mahadi ditemui Kosmo pada Majlis Pelancaran Buku Datuk Shukor Salleh-Jeneral Padang di Wisma FAM, Petaling Jaya tempoh hari. Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Ditanya mengenai kelebihan Harimau Malaya yang menjadi tuan rumah bagi kempen kelayakan Piala Asia kelak, Yusoff beranggapan kelebihan ini perlu digunakan sebaik mungkin. Yusoff menjelaskan skuad Harimau Malaya bakal membuat persiapan yang rapi dari segenap sudut bermula daripada kem latihan.
“Kita dapat melakukan persiapan lebih bagus khususnya daripada segi latihan kerana tidak perlu ke luar negara dan saya harap semua pihak menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin.”