Bintang Vietnam, Nguyen Cong Phuong Sertai Yokohama
MakanBola
HTV
Sponsors

Nguyen Cong Phuong mengikut jejak langkah beberapa pemain Vietnam yang melebarkan sayap mereka ke liga Jepun. Ini selepas pemain tengah skuad Pahlawan Bintang Emas itu menerima tawaran kontrak tiga tahun kelab Liga Jepun 2, Yokohama FC.

Pasukan yang diberi gelaran Fulie itu melihat kehadiran Cong Phuong dapat memantapkan pasukan menjelang saingan Liga Jepun 1 musim depan. Ini selepas Yokohama FC bergelar naib juara Liga Jepun 2 musim 2022 dengan Albirex Niigata muncul juara. Mampu beraksi di pelbagai posisi di bahagian serangan dan tengah, dia mampu menjadi aset berharga pasukan bimbingan Shuhei Yomoda.

Ad

Menariknya, kontrak tiga tahun yang ditawarkan Fulie kepada Cong Phuong memecahkan rekod kontrak pemain Vietnam paling lama yang sebelum ini dipegang Nguyen Quang Hai. Ini kerana tempoh kontrak pemain tengah menyerang Vietnam itu dengan kelab Ligue 2, Pau FC hanya selama dua tahun.

Ad

Selain beraksi dengan kelab Liga Vietnam 1, Hoang Anh Gia Lai (HAGL), Cong Phuong juga pernah merasa beraksi di luar negara secara pinjaman. Antara kelab yang pernah disertainya ialah Incheon United (Korea Selatan), Buriram United (Thailand) dan Sint-Truiden (Belgium). Jepun juga bukan asing buat Cong Phuong kerana dia pernah beraksi bersama Mito Hollyhock pada 2016.

Bagaimanapun, pemain tengah Vietnam itu pastinya berharap mimpi ngerinya di STVV tidak berulang di Yokohama. Semasa dipinjamkan ke Sint-Truiden pada 2019, Cong Phuong hanya beraksi sekali dan lebih kerap beraksi bersama skuad remaja pasukan Belgium itu.

Ad

Cong Phuong telah membuat 54 penampilan bersama Pahlawan Bintang Emas. Bagaimanapun, namanya tidak disenaraikan oleh jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dalam skuad kebangsaan yang terlibat dalam kempen Piala AFF 2022. Ini selepas dia meminta izin Hang-seo untuk tidak menyertai skuad Vietnam atas alasan peribadi – sesuatu yang dihormati oleh jurulatih Korea Selatan itu.

Ad