Bintang Malayan Tigress B-17, You Lim mengetuai senarai 25 orang pemain yang dipanggil jurulatih baharu pasukan itu, Takayoshi Ishihara.
Senarai 25 pemain itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di semua platform rasmi badan induk itu. 25 pemain ini dipanggil bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027.
Majoriti pemain yang dipanggil termasuk You dikekalkan susulan kejayaan meraih tempat ketiga dalam Srikandi Merdeka Cup 2026 pada Ogos lalu.
Ishihara memanggil lima pemain baru untuk kem kali ini. Lima pemain tersebut ialah Chelsea Leona Julius, Gabriella Sandham, Izz Zayani, Batrisyia Faliha dan Putri Dhia Natasya.
Bisa You dijangka ditagih Ishihara untuk mengetuai jentera serangan Malayan Tigress B-17. Penyerang berusia 14 tahun itu muncul penjaring terbanyak Srikandi Merdeka Cup dengan lapan gol.
Jurulatih Jepun itu bakal dibantu dua rakan senegara, Mizuki Ito dan Mayu Hinada. Ito memikul tugas sebagai penolong jurulatih dan jurulatih penjaga gol dengan Hinada sebagai jurulatih kecergasan.
Malaysia akan membuka kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 dengan menentang Syria pada 5 Oktober ini. Ini disusuli perlawanan menentang Iraq pada 8 Oktober dan India pada 11 Oktober pada jam 9.00 malam.
Juara kumpulan akan mengesahkan kelayakan ke kejohanan itu bersama juara bertahan, Korea Utara, Jepun, Australia dan China.