Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui kurang berpuas hati dengan keadaan padang latihan yang digunakan mereka menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Sabah.
Keadaan padang yang kurang memuaskan sedikit sebanyak menjejaskan pelan latihan The Bos Gaurus. Begitupun, Yusri menganggap ini sebahagian daripada cabaran sebagai pasukan pelawat.
Lantas, beliau fokus membantu anak-anak buahnya membuat persiapan terbaik bagi membolehkan mereka mencabar tuan rumah di Stadium Likas malam ini.
“Walaupun kita lihat padang di sini untuk kita menjalani latihan tidaklah seperti yang kita jangkakan dan itu bukan alasan untuk kita.
“Petang ini, kita turun dengan pemain berpeluh dan (memuktamadkan) perancangan terakhir sebelum sepak mula pada esok (malam ini). Dan saya mengharapkan pemain-pemain yang berada di sini (yang) datang dari Ipoh.
“Kita akan cuba beri tentangan sengit kepada tuan rumah di mana kita tahu akan ramai penonton hadir malam besok. Dan sudah pasti satu permainan yang sukar kita jangkakan daripada pasukan tuan rumah di mana mereka acap kali memenangi perlawanan di sini,” katanya kepada TBG TV.
Aksi suku akhir pertama malam ini dianggap peluang Perak membalas dendam kepada skuad Badak. Ini selepas mereka tunduk 3-1 kepada tuan rumah pada 23 Mei lalu.
Selain itu, ini juga peluang buat The Bos Gaurus kembali bangkit selepas diaibkan 4-0 oleh KL City dalam aksi Liga Super pada penghujung Ogos lalu.