Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah enggan mengulas tentang ketiadaan pembantu jurulatih, V. Saravanan.
Saravanan menggalas peranan sebagai penolong jurulatih kepada pengendali sebelumnya, Datuk Lim Teong Kim pada Januari 2023.
Beliau berbuat demikian kerana ingin kembali menabur bakti bersama The Bos Gaurus selepas 11 tahun berkelana di Eropah. Sebelum ini, Saravanan pernah membimbing skuad remaja HJK Helsinki.
Selepas khidmat Teong Kim ditamatkan, Saravanan kemudiannya menjadi pembantu Yusri untuk mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M).
Selain membantu pasukan dalam saingan Liga Super, Saravanan turut diberi kepercayaan membimbing skuad bola sepak Perak mengharungi saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.
Walau bagaimanapun, kelibatnya tidak kelihatan dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara Sri Pahang FC dan Perak di Temerloh pada 22 Disember lalu.
Yusri dibantu seorang lagi penolong jurulatih, Shahrulnizam Mustapa, jurulatih penjaga gol, Azlen Ahmad Jabri dan jurulatih kecergasan, Sam Pakiaraj Victor Davaraj sepanjang perlawanan tersebut.
Apabila ditanya tentang ketiadaan Saravanan, beliau memilih untuk mengunci mulut. “Tiada komen, saya pun tak tahu,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.
Perak tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas Sri Pahang meraih kemenangan 4-3 secara agregat. Hatrik Manuel Hidalgo memusnahkan harapan The Bos Gaurus untuk mengulangi pencapaian musim 2023.