Pengendali Perak, Yusri Che Lah meluahkan kerisauan meski anak didiknya mencatat kemenangan besar ke atas Kelantan DN dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia.
Dalam aksi tersebut, 3 jaringan oleh Clayton, Azfar Fikri dan penalti Daniel Hakimi memastikan bekalan selesa buat The Bos Gaurus di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Jumaat.
Menurut Yusri, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam dunia bola sepak dan sempat meluahkan kebimbangan andai anak-anak buahnya terleka menjelang aksi timbal balik nanti.
”(Dalam) bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Saya agak risau seandainya para pemain mengambil lewa pada perlawanan kedua nanti ,” komen Yusri selepas perlawanan.
Tambah Yusri, kelebihan tiga jaringan di Kelana Jaya ini tidak menjamin sebarang peluang cerah buat pasukan Perak untuk melangkah ke peringkat suku akhir dengan mudah selepas ini.
”Walaupun kita dibekal dengan tiga jaringan tapi kita belum pasti kita memiliki kelebihan untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” tambah bekas jurulatih Kelantan tersebut.
Di sebalik kemenangan ini, ucapan syukur masih meniti di bibir Yusri apabila pasukan kendalian kembali mencatatkan kemenangan dan mempertahan pintu gol dari dibolosi lawan.
”Alhamdulillah, kami bersyukur diberikan kemenangan dan clean sheet selepas empat perlawanan,” ulas Yusri sambil menarik nafas lega.
Perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia akan diadakan pada 30 November di Stadium Manjung dengan Perak bakal membawa bekalan agregat tiga jaringan dari laman Kelantan DN.