Walaupun mempunyai skil permainan seperti Lionel Messi dan Karim Benzema, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menjadi presiden mana-mana kelab bola sepak ketika ini.
Dalam fikiran beliau kini adalah untuk memberi fokus dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin BN dan UMNO sebaik mungkin.
“Maka terpaksalah saya akui suatu ketika dulu skil permainan bola sepak saya hampir menyamai Lionel Messi atau belakang sedikit berbanding Karim Benzema.
“Tetapi itu tidaklah bermakna saya mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bola sepak dalam negara sedangkan ada perkara lebih mustahak untuk diutamakan.
“Saya tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bolasepak biarpun pernah menjadi Presiden PAFA (Perak).” jelas beliau di laman Facebook rasmi beliau.
Walaupun ada khabar angin yang mengaitkan beliau dengan KL City, namun beliau menegaskan bahawa berita itu tidak benar sekali.
“Justeru, saya menafikan laporan media tertentu saya adalah calon baharu Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu.
“Tumpuan saya pada masa ini adalah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO sebaik mungkin.
“Melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk menggembalikan kegemilangan UMNO dan BN dalam persada politik tanah air.” tegas Zahid.
Untuk rekod, Zahid pernah menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA). Beliau juga berjaya menaikkan nama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.