Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman mengakui kredibiliti yang ada pada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris sebagai pemilik kelab Johor Darul Ta’zim itu wajar sekali dipuji.
Norizam atau lebih mesra disapa Zamsaham menjelaskan bahawa beliau tidak pernah ada masalah dengan mana-mana pemilik kelab di Malaysia. Malah beliau melihat apa yang dilakukan TMJ sejak dahulu hingga kini adalah perkara yang benar dan bagus untuk sesebuah kelab.
“Saya terus terang, saya tidak ada masalah dengan mana-mana pemilik kelab. Saya tiada masalah dengan Melaka, Negeri Sembilan dan juga negeri kelahiran saya, JDT. Saya melihat kepada perkara yang benar dan memang Tunku Mahkota Johor beliau buat sesuatu.”
Usahawan terkenal ini menyatakan bahawa jarang sekali beliau melihat presiden ataupun pemilik kelab yang berani untuk turun padang, berjumpa dengan penyokong. Bukanlah pujian ini untuk meraih apa-apa manfaat, namun beliau hanyalah berkata benar.
“Dialah satu-satunya pemilik kelab yang berani jumpa dengan semua penyokong dan bercakap tegak-tegak. Saya tak nampak lagi ada kelab-kelab Malaysia yang mana pemilik dan presidennya sanggup turun padang, turun berjumpa dengan semua penyokong. Saya nampak JDT bukan buat sekali dua kali.”
“Saya bukan kaki jilat. Sebab bukan prinsip saya dan saya ada pendirian. Jadi saya puji tu bukan sebab, tapi sebab apa yang saya nampak benda ini betul.”
Zamsaham turut menyifatkan TMJ ialah individu yang banyak berjasa kepada bola sepak Johor. TMJ sanggup mengambil alih kepimpinan bola sepak Johor dan berjaya mencoraknya hingga berjaya seperti kini.
“Daripada tahun 2013, kelab Johor sebelum ini tiada orang pandang. Tapi dengan adanya orang macamni, sebab kalau cerita pasal duit, semua orang ada duit. Tapi TMJ beliau buat dan jadikan perkara itu sebagai realiti dan bukan cakap kosong.”
“Daripada kelab yang biasa, hari ini JDT dah menang 9 piala. Saya akui sebab saya juga pemilik kelab,” ujar Zamsaham kepada Harimau Malaya.