Pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman dalam satu kenyataan di Facebook miliknya memberi amaran kepada pemain The Red Warrior perihal tabiat merokok.
Usahawan terkenal yang mesra disapa Zamsaham menegaskan bahawa sebagai pemain bola sepak, mereka dilarang untuk merokok. Bukan sahaja kerana rokok itu akan menjejaskan kesihatan, namun tabiat merokok juga bakal mencemarkan imej sesebuah pasukan.
Zamsaham menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuang mana-mana pemain yang ‘kantoi’ merokok.
“Kalau jadi pemain bola sepak, mana boleh hisap rokok. Kalau saya dapat tangkap, saya buang terus lepasni.”
Zamsaham dalam pada itu menyatakan para pemain Kelantan FC sendiri tahu bahawa larangan merokok itu terdapat dalam kontrak yang telah ditandatangani.
Walau bagaimanapun, Zamsaham menjelaskan bahawa setakat ini tidak ada lagi para pemain The Red Warrior yang tertangkap.
“Jangan marah, dalam kontrak ada tulis. Alhamdulillah, takda pemain yang tertangkap.”