Kemenangan Sri Pahang FC ke atas Perak FC dibayar dengan harga mahal susulan kad merah yang menimpa penjaga gol mereka, Zarif Irfan Hashimuddin.
Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia itu pada 13 Disember lalu menemukan dua pasukan berstatus bekas juara kejohanan berprestij itu. Sri Pahang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali dengan Perak (lapan kali).
Meskipun beraksi di Manjung, itu bukan halangan buat anak buah Fandi Ahmad untuk meraih kemenangan ke atas The Bos Gaurus.
Penyerang import Liberia, Kpah Sherman muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Tok Gajah pada separuh masa pertama.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Zarif dikesan menyiku penyerang import Perak, Clayton tatkala berebut mendapatkan bola pada minit ke-87.
Pegawai VAR, Mohd Nafeez Abd Wahab memaklumkan pengadil perlawanan, S. Logeswaran tentang insiden berkenaan. Selepas meneliti ulang tayang insiden tersebut di monitor, Logeswaran tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepada Zarif.
Insiden ini memaksa Fandi mengeluarkan Syazwan Andik untuk memasukkan penjaga gol gantian, Azfar Arif Mohd Sukri pada minit ke-93. Azfar memastikan keputusan 1-0 kekal milik Sri Pahang sehingga tamat perlawanan.
Situasi ini menyebabkan Zarif terpaksa menjalani penggantungan perlawanan menjelang aksi suku akhir kedua di Manjung pada 22 Disember ini.