Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali mempersiap pasukan bagi menghadapi tentangan Melaka dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia dengan kehadiran semula 5 tonggak tumpuan.
Selepas pulang dari Jepun bagi aksi AFC Champions League Elite (ACLE), skuad Harimau Selatan tidak membuang waktu dengan terus turun menjalani latihan bagi menghadapi jadual aksi seterusnya.
Aksi suku akhir Piala Malaysia berdepan Melaka akan menjadi ujian terbaharu buat pasukan JDT dalam misi untuk menebus kehampaan tewas kepada Sanfrecce Hiroshima pada Selasa lalu.
Menjelang aksi tersebut, beberapa tonggak penting pasukan JDT dilihat mula kembali menyertai sesi latihan pada Khamis sebagai persiapan fizikal dan mental untuk merebut di dalam kesebelasan utama.
Kelibat Matt Davies, Hong Wan, Ajdin Mujagic, Junior Eldstal dan Ibrahim Manusi antara yang dikesan semasa sesi latihan bersama pemain-pemain lain yang baru sahaja kembali dari Jepun.
Kehadiran Ajdin Miujagic pastinya menjadi tumpuan peminat tatkala ramai menaruh impian besar bagi melihat penampilan pertama bekas penyerang Sabah itu bersama skuad Harimau Selatan.
Dengan lambakan pemain berkualiti di dalam pasukan, timbul tanda tanya adakah Xisco Munoz bersedia untuk melakukan penggiliran pemain pada aksi timbal balik pertama berdepan Melaka ini?
Hal ini kerana ujian sebenar bakal menanti JDT pada minggu hadapan apabila melayani kunjungan Vissel Kobe dalam aksi ACLE dengan misi wajib menang untuk layak ke pusingan kalah mati.
Sebelum itu, aksi suku akhir pertama Piala Malaysia antara JDT vs Melaka bakal berlangsung malam ini tepat jam 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim.