Enam kelab Liga Super Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Penang, Kuching City, DPMM dan Imigresen telah disahkan mematuhi sepenuhnya keperluan Financial Fair Play (FFP) bagi penyerahan “In-Season” Ke-5 musim 2025–2026.
Perkara itu dimaklumkan selepas Mesyuarat Ringkasan Penyerahan dokumentasi “In-Season” Ke-5 oleh Jawatankuasa First Instance Body (FIB) dan Financial Fair Play (FFP) Malaysian Football League (MFL) yang menilai tahap pematuhan kewangan kelab setakat April 2026.
Menurut kenyataan itu, keenam-enam kelab terbabit tidak mempunyai tunggakan gaji kepada pemain dan pekerja, selain bebas daripada sebarang tunggakan kepada agensi kerajaan, sekali gus melepasi penilaian penuh FFP bagi tempoh berkenaan.
Sementara itu, empat kelab iaitu Sabah, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu didapati tidak mempunyai tunggakan gaji, namun masih mempunyai tunggakan kepada agensi kerajaan berkaitan. Kesemua kelab terbabit telah diberikan peringatan rasmi untuk menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, KL City berada di bawah pemantauan rapi selepas dikesan mempunyai tunggakan gaji serta tunggakan kepada agensi kerajaan. Kelab itu diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan bukti pembayaran atau pelan penyelesaian berkaitan tunggakan tersebut.
Dua kelab iaitu PDRM dan Kelantan The Real Warriors pula dikenakan denda RM10,000 setiap satu selepas didapati melanggar Artikel 11 Peraturan FFP musim 2025–2026, berikutan kegagalan mengemukakan dokumentasi lengkap bagi penyerahan “In-Season” Ke-5.
Kedua-dua kelab itu turut mempunyai tunggakan gaji serta komitmen kepada agensi kerajaan, dan turut diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan dokumen serta mengemukakan pelan penyelesaian kewangan.
MFL memaklumkan bahawa penyerahan “In-Season” Ke-5 ini merupakan penyerahan terakhir bagi musim 2025–2026 sebelum kelab-kelab beralih kepada fasa seterusnya iaitu penyerahan bajet musim 2026–2027 serta deklarasi kewangan setakat Jun 2026.
Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB) FFP MFL, Sheikh Mohd Nasir bin Sheikh Mohd Sharif, pihaknya akan terus memantau kedudukan kewangan semua kelab bagi memastikan tadbir urus kewangan yang lebih mampan, bertanggungjawab dan selaras dengan pembangunan bola sepak profesional negara.