Selepas mengungguli acara keirin wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus membuktikan dirinya sebagai jaguh berbasikal trek wanita terbaru Malaysia.
Terbaru, pelumba berusia 21 tahun itu mengungguli acara ujian masa 1 KM Asian Cycling Championships (ACC). Lebih menarik, Izzah Izzati memecahkan rekod Asia sebanyak dua kali dalam acara tersebut.
Saringan di sebelah pagi menyaksikan beliau telah melakar rekod baru Asia dengan catatan masa 1 minit (m) 07.137 (s). Catatan masa itu membolehkan Izzah Izzati layak ke final yang diadakan dalam sesi petang.
Juara Asia dalam acara keirin wanita itu turun dalam saringan ketujuh acara ujian masa 1 KM. Izzah Izzati mempamerkan kayuhan mantap untuk merekodkan catatan masa 1 m 06.229 s.
Itu sudah cukup buat wakil negara itu mengatasi cabaran pelumba China, Luo Shuyan dan wakil Korea Selatan, Hwang Hyeon-seo. Shuyan dan Hyeon-seo masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kejayaan ini membolehkan Izzah Izzati mempertahankan pingat emas dalam acara sama yang dimenangi dalam edisi sebelumnya.