Kelab Iran, Sepahan mencipta kemenangan terbesar dalam Kumpulan C ACL dengan membelasah kelab Uzbekistan, AGMK 9-0.
Sepahan sebelum ini kecewa selepas dihukum AFC kerana mengakibatkan perlawanan ACL menentang Al-Ittihad dibatalkan.
Dengan stadium mereka, Stadium Nagsh-e Jahan tidak boleh digunakan untuk perlawanan AFC selama tiga perlawanan, The Yellow Storm menggunakan Stadium Azadi sebagai stadium alternatif.
Perubahan ini langsung tidak menggugat rentak kelab yang berpangkalan di Isfahan, Iran itu.
Malah, mereka mendahului AGMK seawal minit kesembilan menerusi Farshad Ahmadzadeh. Bagaimanapun, AGMK memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Yellow Storm terus meningkatkan asakan ke atas pasukan pelawat. Reza Asadi menggandakan kelebihan Sepahan pada minit ke-59.
Pelawat dibolosi lagi dalam tempoh dua minit menerusi Mohammad Javad Hosseinnejad (minit ke-60) dan Mohammad Ghorbani (minit ke-62).
Ramin Rezaeian melebarkan lagi kelebihan tuan rumah pada minit ke-71. Sepahan kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Issa Alekasir pada minit ke-79.
Penyerang gantian, Shahriyar Moughanlou menyumbat gol ketujuh tuan rumah pada minit ke-82.
Alekasir kemudiannya menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-87. Hosseinnejad melengkapkan malam gemilang Sepahan dengan gol kesembilan pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini cukup untuk melonjakkan mereka ke tangga kedua Kumpulan C dengan tujuh mata, dua mata di belakang Al-Ittihad.
The Yellow Storm masih berpeluang bergelar juara Kumpulan C selepas Al-Ittihad tumpas 2-0 kepada kelab Iraq, Air Force Club semalam.