Pengendali Selangor, Nidzam Jamil membawa berita baik apabila penyerang, Ronnie Fernandez akan kembali menjelang aksi kedua AFC Champions League 2 (ACL2) bertemu DH Cebu.
Selangor turun ke laman sendiri untuk melayani kunjungan wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu setelah berjaya mencuri satu mata dari Muangthong United di Bangkok bulan lalu.
Manakala, Cebu pula mahu menjadikan perlawanan kedua ini sebagai medan kebangkitan setelah tumbang 0-6 di tangan kelab Korea, Jeonbuk Hyundai dalam aksi pertama lalu di Manila.
Menurut Nidzam, Selangor kini dalam mood terbaik untuk beraksi di saingan Asia selepas 8 tahun dan menganggap satu mata di Thailand tempoh hari sebagai keputusan yang baik buat pasukan.
”Kami gembira dapat kembali ke kejohanan ini dan saya lebih suka menggelarkan kami sebagai pendatang baharu selepas lapan tahun menyepi dari pentas Asia,” katanya ketika sidang media.
”Dua minggu lalu kami berjaya mengikat Muangthong United 1-1, dan bagi saya, itu satu keputusan yang baik kerana satu mata di laman lawan sangat penting,” ujar Nidzam lagi.
Tambah beliau, kesemua pemain bersedia untuk bertemu DH Cebu kecuali dua tonggak tengah The Red Giants, Mukhairi Ajmal dan Alex Agyarkwa yang masih cedera.
”Bagi perlawanan esok, yang pasti akan terkeluar dari senarai adalah Mukhairi Ajmal dan Alex Agyarkwa. Yang lain dalam keadaan baik, dan kita mempunyai pasukan yang penuh.”
Walau bagaimanapun, penggempur utama Selangor, Ronnie Fernandez bakal kembali memperkuar jentera serangan setelah mengalami kecederaan ketika aksi liga bertemu Terengganu Sabtu lalu.
”Dan ya, Ronnie (Fernandez) akan kembali untuk aksi esok,” ujar Nidzam sambil ditemani kapten, Safuwan Baharudin.
Aksi Selangor-DH Cebu bakal berlangsung pada Khamis, 3 Oktober di Stadium MBPJ dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.