Advertisements
ACL2: Selangor Terlalu Berbisa, Tinggal Jeonbuk Hyundai 2-1 Babak Pertama
ACL
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC meraih pendahuluan dalam separuh masa pertama aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2(ACL2) dengan Jeonbuk Hyundai Motors.

Jeonbuk mahu bangkit selepas tewas 2-0 kepada Daejeon Hana Citizens baru-baru ini. Manakala Selangor mahu melupakan memori diikat PDRM 1-1 dalam aksi Liga Super pada 19 Oktober lalu.

Tanpa empat tonggak utama termasuk Alvin Fortes, Merah Kuning memilih memberi kemunculan penuh kepada dua tonggak import, Mohammad Abualnadi dan Nikola Jambor.

Manakala bintang muda Korea Selatan, Jin Tae-ho menjadi ayam tambatan pilihan jurulatih Jeonbuk, Kim Do-heon.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal. Tae-ho hampir meraih gol pendahuluan pelawat seawal minit pertama tetapi pergerakannya disekat pertahanan Selangor.

Selangor hampir membuka tirai jaringan menerusi tandukan kapten, Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-12. Malangnya, tandukan bek tengah berusia 23 tahun itu ditolak keluar bek kiri Jeonbuk, Jeong Uh-jae.

Ini disusuli percubaan dari luar kotak penalti oleh Zikri Khalili seminit selepas itu. Walau bagaimanapun, percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Kim Jung-hoon.

Gawang Jeonbuk terus diuji menerusi Ali Olwan pada minit ke-27 tetapi berjaya ditepis Jung-hoon. Merah Kuning akhirnya mendahului menerusi Harith tiga minit selepas itu selepas mudah menanduk hantaran Yohandry Orozco.

Beberapa minit selepas itu, giliran Ali pula mencetak nama sebagai penjaring. Rembatannya terkena kaki Uh-jae sebelum melantun masuk ke dalam gawang Jeonbuk.

Uh-jae menebus kesilapannya dengan membuat satu hantaran yang mudah ditanduk Kwon Chang-hoon pada minit ke-39.

Jeonbuk terus memberi tekanan ke arah kubu pertahanan Selangor tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.