Asia

AFC Denda Port Atas Kesalahan Lawan JDT

Arif Port JDT JST 1 AFC Denda Port Atas Kesalahan Lawan JDT
Johor Southern Tigers

Konfederasi bola sepak Asia (AFC) mengambil tindakan tegas terhadap kelab Thailand, Port FC. susulan daripada kesalahan yang dilakukan ketika kelab itu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Advertisement

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC pada 19 November 2026. Jawatankuasa tersebut meneliti kesalahan berkaitan kiraan detik rasmi perlawanan, iaitu peraturan yang menetapkan masa sebenar pasukan perlu bersedia sebelum sepak mula setiap separuh masa.

Kesalahan itu berlaku ketika Port FC bertandang menentang JDT dalam aksi Peringkat Liga Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/27 pada 27 Oktober 2026. Hasilnya, kelab Thailand itu dan ketua jurulatihnya, Bozidar Bandovic, masing-masing dikenakan denda.

Menurut fakta kes, wakil Port FC menyebabkan permulaan separuh masa pertama tertangguh selama satu minit. Permulaan separuh masa kedua pula tertangguh selama dua minit.

Atas kesalahan di bawah Artikel 15.2 Manual Operasi Pertandingan AFC, wakil Thailand itu diarahkan membayar denda USD2,500, iaitu kira-kira RM10,225.

Jurulatih kelahiran Greece itu turut tidak terlepas daripada tindakan. Jawatankuasa mendapati beliau gagal memastikan pemain Port FC selesai membuat persiapan dan meninggalkan bilik persalinan mengikut kiraan detik rasmi, sehingga separuh masa kedua lewat bermula dua minit.

Atas kesalahan itu, beliau didenda USD1,500, iaitu kira-kira RM6,135. Beliau didapati melanggar Artikel 11.2 Pekeliling Disiplin AFC bagi ACLE 2026/27, dibaca bersama Artikel 15.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.

Secara keseluruhan, pihak Port FC perlu menanggung denda sebanyak USD4,000, iaitu kira-kira RM16,360, akibat kelewatan tiga minit dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua denda wajib dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Disiplin dan Etika AFC.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...