AFC Label Penswastaan Liga Malaysia Tidak Normal
MakanBola
AFC Academy

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menyifatkan penswastaan Liga Malaysia (Liga M) sebagai tidak normal.

Pandangan ini dibuat beliau apabila diminta mengulas isu yang dihadapi Liga M sejak kebelakangan ini.

Windsor melihat perkara ini terjadi kerana Liga M dilihat mengambil masa terlalu lama untuk mencari formula sesuai bagi menjayakan proses penswastaan.

“Saya rasa dengan mengambil kira apa yang sudah berlaku kepada liga-liga lain, kita boleh kategorikan sebagai tidak normal sebab terlalu lama untuk adaptasi kepada status baru. Terlalu lama,” katanya kepada Nadi Arena.

Windsor turut berpandangan selaras dengan era kelab bola sepak profesional, kelab perlu berusaha mencari dana sendiri. Ini disebabkan status mereka sebagai entiti komersial.

“Sekarang ini kita perlukan dalam konteks era profesional ini, kelab yang perlu bermain dalam pertandingan kelab. 

“Entitinya bertukar daripada persatuan kepada FC (kelab bola sepak) sebagai satu entiti komersial sebab bola sipak kelab ini ialah komersial. 

“Jadi, saya rasa dalam peralihan daripada persatuan kepada FC (kelab bola sepak), apa yang paling penting adalah siapa yang mengendalikan FC (kelab bola sepak),” ujarnya.

Sebelum ini, Malaysian Football League (MFL) bersedia mengadakan pertemuan dengan semua CEO kelab Liga Super untuk membantu mencari solusi isu kewangan yang membelenggu sesetengah kelab.