Malaysia Football League (MFL) bersedia mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab Liga Super berhubung isu kewangan yang membelenggu sesetengah kelab.
Isu kewangan terutama isu tunggakan gaji terus melanda kelab Liga Super saban tahun. Isu tersebut juga mengakibatkan beberapa kelab menarik diri kerana tidak mampu menanggung kos kewangan.
Misalnya, Perak FC dan Sri Pahang FC menarik diri daripada saingan liga pada akhir musim 2024/25 atas faktor kewangan.
Situasi ini mendorong CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesyorkan satu sesi meja bulat diadakan membabitkan semua pemegang taruh untuk menyelesaikan isu tersebut.
Saranan Johan kemudiannya mendapat sokongan ramai figura kelab lain seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Penang FC, Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC.
CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd memaklumkan badan pengelola liga itu bersedia mengadakan pertemuan dengan semua CEO kelab Liga Super berhubung isu berkenaan.
“Kita sudah memang ada rancangan untuk jumpa semua CEO kelab ini. Namun begitu, saya semua sedia maklum, beberapa perkara tengah berlaku. Jadi, kita terpaksa tangguhkan.
“Tapi sebab kita sudah ada pelbagai permohonan dan pandangan-pandangan darpada kelab, kita sangat terbuka.
“Dan Insya Allah MFL akan mengadakan perjumpaan bersama semua CEO kelab, bersama pemegang-pemegang taruh, lembaga pengarah dalam masa terdekat yang akan kita maklumkan. Dan kita memang akan berjumpa dengan semua CEO,” katanya.
Shazli ditemui media selepas majlis pemeteraian kerjasama antara MFL dan Konami eFootball yang berlangsung pada Khamis.