Perpindahan sensasi Cristiano Ronaldo ke Al-Nassr sememangnya satu perpindahan yang tidak dijangka untuk legenda Portugal itu. Tetapi kehadirannya dijangka memaksa kelab tersebut mengeluarkan penyerang Cameroon, Vincent Aboubakar bagi membolehkan Ronaldo mengetuai bahagian serangan.
Aboubakar menyertai Al-Nassr dari Besiktas menerusi perpindahan percuma pada musim panas 2021. Dia telah membuat 34 penampilan bersama Faris Najd dan menyumbat 12 gol.
Tetapi dengan lambakan penyerang di kelab tersebut termasuk Ronaldo, ini menimbulkan persoalan tentang masa depan Aboubakar di Faris Najd. Malah, ura-ura tentang Aboubakar bakal kehilangan tempatnya kepada bekas penyerang Real Madrid itu sudah bertiup kencang sejak penghujung November lepas.
Satu kelab yang dijangka bakal memanfaatkan situasi Aboubakar dan Al-Nassr ini ialah Manchester United. Selepas melepaskan Ronaldo menerusi persetujuan bersama, Red Devils memerlukan penyerang baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas graduan Sporting Lisbon itu.
Sebelum ini dikaitkan dengan Cody Gakpo, United bagaimanapun gagal mendapatkan bekas penyerang PSV Eindhoven itu selepas dia memilih berhijrah ke Liverpool. Tanpa dana perpindahan untuk musim perpindahan Januari, Red Devils perlu mendapatkan pemain secara pinjaman.
Perpindahan jangka pendek sebegini bukan benda baru untuk United. Kelab tersebut pernah mendapatkan bekas penyerang Watford, Odion Ighalo secara pinjaman semasa dia beraksi dengan Shanghai Shenhua. Dan Aboubakar amat sesuai dengan profil perpindahan jangka pendek United.
Sekiranya Aboubakar menyertai skuad Erik ten Hag secara pinjaman, ia dilihat dapat mengurangkan beban jaringan gol yang digalas Marcus Rashford dan Anthony Martial. Selain itu, bekas penyerang Porto itu dapat memberi lebih banyak pilihan di bahagian serangan.