Amirul Hisyam Tinggalkan Kedah Selepas 10 Musim
MakanBola
KDA FC

Pemain tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Amirul Hisyam mengucapkan selamat tinggal buat pasukan gergasi utara tanah air itu selepas 10 musim bersama.

Dalam satu hantaran di laman Instagram, Amirul mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong Kedah yang sentiasa ada bersama pasukan tidak kira jatuh mahupun bangun.

“Terima Kasih KEDAH. terima kasih bola sepak Kedah telah memberi ruang dan peluang kepada saya selama 10 musim ini.

“Terima kasih juga penyokong setia hijau kuning yang sentiasa ada dikala jatuh bangun Kedah dan saya mendoakan agar pasukan Kedah kita kembali bangkit selepas ini,” coret Amirul di laman Instagram.

Amirul juga mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap beliau selama menyarung jersi pasukan Kedah.

“Di sini juga saya ingin memohon maaf andai ada salah dan silap sepanjang pembabitan saya bersama pasukan tak kira di dalam atau di luar padang, semoga kita berjumpa lagi,” tulisnya mengakhiri ucapan.

Amirul bukanlah nama yang asing di dalam kancah bola sepak tempatan apabila menjadi enjin utama pasukan Kedah sejak beberapa tahun yang lalu.

Kemenjadian aksi Amirul bersama Kedah turut mendapat perhatian bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam yang memuji ketenangan pemain tengah bertahan itu.

Selain Amirul Hisyam, Ariff Farhan yang merupakan pertahanan kiri skuad Kedah turut mengumumkan meninggalkan pasukan tersebut baru-baru ini.