Advertisement
Aniq Kasdan Bakal Ke Paris
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Council of Malaysia

Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan tampil cemerlang untuk muncul atlet terbaharu yang berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Kejayaan ini dicapai oleh anak jati Johor ini apabila beliau berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 atlet terbaik dengan berada di kedudukan kelapan dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia yang berlangsung di Phuket.

Aniq yang beraksi dalam kategori 61kg berjaya mencatatkan angkatan keseluruhan 290kg selepas melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch dan 165kg dalam acara clean and jerk dalam kejohanan ini.

Meskipun sedikit merosot berbanding rekod kebangsaan yang dipecahkan olehnya sewaktu di Doha, Qatar tahun lalu, namun keputusan ini sudah cukup untuk Aniq melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris nanti.

Pada kejohanan ini juga, atlet China, Li Fabin muncul juara dengan jumlah angkatan 314kg diikuti atlet Amerika Syarikat, Morris Hampton Miller dan Massidda Sergio dari Itali.

Aniq bakal menyertai beberapa atlet Malaysia lain yang sudah mengesahkan tempat ke Olimpik Paris 2024 seperti Bertrand Rhodict Lises (terjun), Jonathan Wong (menembak), Nur Shazrin Abdul Latif (pelayaran), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).

Selain itu, kontinjen badminton juga akan menghantar lima wakil ke Olimpik dalam lima acara berbeza dengan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Sukan Olimpik Paris 2024 bakal membuka tirai pada 26 Julai 2024 dengan pencapaian terbaik kontinjen negara adalah ketika di edisi Rio De Janeiro 2016 yang mana Malaysia berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu pingat gangsa.