DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan mesej antara Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Unit Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pendedahan tersebut dibuat baginda dalam sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) pada 29 April lalu.
Tunku Ismail bertanya apakah tindakan yang dilakukan Shahril itu benar atau tidak kerana ini berkait dengan undang-undang bola sepak.
Hal tersebut turut mengingatkan baginda terhadap skandal Calciopoli yang pernah membelenggu bola sepak Itali bertahun-tahun sebelumnya.
Tunku Ismail memaklumkan skandal tersebut berlaku disebabkan tindakan pengarah Juventus, Luciano Moggi memberi tekanan kepada jawatankuasa pengadil Itali.
“Macam dulu kalau kita tengok kes Juventus, nama pengarah sukan ialah (Luciano) Moggi dan beliau cuba mempengaruhi pengadil, memberi tekanan kepada jawatankuasa pengadil agar bias kepada Juventus.
“Adakah ia salah atau tidak? Jadi, saya rasa sebelum siapa-siapa nak bercakap pasal pengadil, mungkin ini untuk Selangor FC lihat. Ini perbualan Datuk Seri Shahril Mokhtar dengan Ketua Unit Pengadil FAM.
“‘Tolonglah, saudara.’ Untuk tekanan apa? Membuat keputusan. Anda tidak boleh ganggu pengadil, mudah saja,” katanya.
Susulan itu, Shahril kemudian tampil menafikan dakwaan yang dibuat Tunku Ismail. Beliau turut mendedahkan tangkap layar mesej tersebut dengan Ketua Unit Pengadil FAM.