Bekas Jurulatih Lega KL City Sedia Langsai Tunggakan Gaji
MakanBola
Kuala Lumpur FA

Bekas jurulatih penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Guilherme Almeida menghela nafas lega kerana pasukan itu sedia melangsaikan tunggakan gajinya.

Perkembangan itu dikongsikan jurulatih Brazil berusia 43 tahun itu apabila ditanya tentang situasi terkini tunggakan gaji beliau dengan kelab berkenaan.

Pertanyaan itu timbul susulan pendedahan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam bahawa 10 staf KL City masih belum menerima gaji untuk bulan April 2026.

Susulan itu, seorang penyokong The City Boys bertanya kepada Almeida berhubung situasi tunggakan gaji beliau dengan pasukan Lembah Klang itu.

Jurulatih penjaga gol Viettel FC itu mendedahkan beliau sudah berhubung dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar.

Beliau memaklumkan KL City bersedia melangsaikan tunggakan gajinya dan mula melaksanakan proses bayaran. Almeida berharap perkara itu dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Saya sudah bercakap dengan Presiden (KLFA) Syed Yazid. Beliau seorang yang peramah. Beliau sedia menyelesaikan hutang kelab dengan saya dan beliau sudah mula membuat pembayaran.

“Saya harap semuanya akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya di X.

Kenyataan ini dilihat selaras dengan kenyataan penaung KL City, Datuk Fahmi Fadzil bahawa isu kewangan yang membelenggu pasukan itu akan selesai tidak lama lagi.

Almeida memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol KL City dari 2018 hingga 2024. Beliau bertanggungjawab menggilap bakat barisan penjaga gol yang pernah beraksi untuk kelab itu seperti Kevin Mendoza, Azri Ghani dan Azim Al Amin Kamaruddin.