Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) mengesahkan bahawa Harimau Malaya memiliki ciri-ciri pasukan yang hebat.
Perkara ini didedahkan oleh bintang Nottingham Forest, Chris Wood dalam satu sesi temu bual bersama Stadium Astro memaklumkan bahawa beliau teruja dengan kualiti Malaysia.
Sungguhpun Harimau Malaya tunduk dengan keputusan 4-0, beliau mengakui anak buah Pau Marti beraksi dengan baik di sebalik kekangan seperti keadaan cuaca yang tidak sama dengan Malaysia.
“Mereka pasukan yang bagus, mereka memberi saingan kepada kami dan mencetuskan banyak masalah. Ia satu malam yang sejuk dan berangin, bagi sebahagian daripada kami itu cuma perkara biasa di New Zealand.
“Bagi pemain-pemain dari Malaysia, itu berbeza (berbanding di Malaysia) jadi itu satu keadaan berbeza (buat mereka),” jelasnya kepada Stadium Astro.
Pemain berusia 32 tahun itu melihat aksi separuh masa pertama New Zealand berjaya dikekang lawan namun jurang kualiti menentukan keputusan perlawanan.
“Mereka menunjukkan persembahan bagus pada separuh masa pertama, mencetuskan banyak masalah dan kerap melancarkan serangan balas ke atas kami.
“Pada akhirnya, cuaca memberi kelebihan kepada kami dan kita bermain dengan bagus untuk memenangi perlawanan itu,” tambahnya.
Wood juga melihat terdapat beberapa pemain yang memiliki potensi besar beraksi buat skuad Harimau Malaya.
“Secara jujurnya, saya tak ingat nama-nama mereka. Tapi saya ingat beberapa bulan lalu, terdapat beberapa pemain yang bagus dalam pasukan itu,” katanya.
Ujian besar Harimau Malaya di bawah pengendali baharu, Peter Cklamovski adalah aksi Kelayakan Piala Asia 2027.