Pemain import Imigresen, Eduardo Sosa, kini menerima sambutan hangat daripada beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia walaupun musim liga tempatan masih belum berakhir.
Beliau menyertai pasukan Imigresen pada 6 Ogos 2025 dan sejak itu mempamerkan prestasi yang sangat memberangsangkan sehingga menjadi rebutan kelab dari dalam dan luar negara.
Beraksi di posisi pemain tengah menyerang, Eduardo Sosa dilihat sebagai tonggak utama pasukan Imigresen dengan jumlah masa permainan sebanyak 1,439 minit.
Sepanjang musim ini, beliau telah menjaringkan 9 gol dan mencatatkan 2 bantuan gol dalam 19 perlawanan dalam empat kejohanan utama, iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dua bulan sebelum musim berakhir, Eduardo Sosa dilaporkan telah menerima beberapa tawaran daripada kelab Liga Malaysia serta dari Indonesia.
“Dua bulan sebelum musim tamat, Eduardo Sosa difahamkan sudah terima beberapa tawaran daripada kelab Liga Malaysia termasuk dari Indonesia.”
“Perbincangan masih berjalan, semoga perjanjian terbaik menang,” kata Zulhelmi Zainal Azam dalam satu hantaran di laman media X milik beliau.
Eduardo Sosa dan Imigresen bakal meneruskan aksi Liga Super dengan menentang pasukan Penang di laman sendiri pada 11 April ini.