Bola Sepak Malaysia Tak Layak “Ada” JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak dalam ekosistem bola sepak tempatan yang masih gagal menghargai pencapaian luar biasa juara Liga Super itu.

Menerusi satu kenyataan di laman Instastory, Tunku Ismail menyifatkan JDT sudah terlalu maju dan jauh ke hadapan berbanding struktur dan mentaliti bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

“Kita tersekat dengan orang-orang bodoh yang tak dapat beza. 12 tahun pecah rekod dan cipta sejarah dalam dan luar padang. Tapi masih tak sedar,” titah baginda.

Menurut baginda, bola sepak tempatan masih dibelenggu dengan pemikiran lapuk yang mengagungkan kejayaan tradisional berbanding pembangunan moden dan konsisten seperti yang dibawa oleh JDT.

“Bola sepak Malaysia tak layak untuk JDT. Mereka patut kembali kepada mindset anak jati, Piala Malaysia lebih penting daripada liga, dan tolak Piala AFC,” kata Baginda.

Baginda turut menyindir pihak tertentu yang gagal menerima kemajuan dan pencapaian JDT di pentas domestik dan Asia, menyatakan bahawa ‘mereka tak biasa’ dengan kejayaan berterusan yang ditampilkan kelab dari selatan tanah air itu.

Tunku Ismail turut menegaskan bahawa fakta tidak pernah berbohong dan JDT telah membuktikan kemampuan mereka selama lebih sedekad bertapak dalam saingan Liga Malaysia.

“Kita terlalu laju dan jauh ke depan berbanding mereka. Fakta tak pernah menipu,” tambah Baginda.

Screenshot 114 Bola Sepak Malaysia Tak Layak "Ada" JDT
DYAM Tunku Ismail

Sejak diambil alih oleh DYAM Tunku Ismail, JDT telah meraih pelbagai kejayaan luar biasa termasuk memenangi 11 gelaran Liga Super berturut-turut serta konsisten mara ke Liga Juara-Juara AFC.