Brunei DPMM FC berazam memberi saingan sengit kepada dua pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Hasrat itu dizahirkan Pengurus Besar DPMM, Md Ali Momin selepas pasukan itu sah mewarnai saingan Liga Super musim 2025/26.
Brunei DPMM kembali beraksi dalam Liga Super selepas kali terakhir melakukannya pada 2008. Sebelum ini, pasukan itu beraksi dalam saingan Singapore Premier League (SPL).
Meskipun berstatus pendatang baharu, Ali yakin dengan keupayaan pasukan itu memberi cabaran hebat dalam liga.
“Insya Allah kita sedaya upaya untuk memberi saingan kepada pasukan JDT dan Selangor. Mungkin pada tahun pertama ini, kita akan bergelut sedikit.
“Di manakah keadaan kelab pada ketika ini dalam Liga Malaysia. Kerana kita telah lama meninggalkan Liga Malaysia.
“Insya Allah kita akan cuba memberi saingan sengit bukan saja kepada JDT dan Selangor tetapi kepada semua kelab dalam Liga Super,” katanya seperti yang dilaporkan SNE Sports.
DPMM kini sibuk merekrut pemain sebagai persiapan menghadapi musim 2025/26. Antara pemain yang cuba direkrut kelab tersebut ialah pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid.