Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon melihat pintu skuad kebangsaan masih lagi terbuka buat pemain-pemain import Liga Malaysia (Liga M) yang sedang menjalani proses naturalisasi di kelab masing-masing.
Ini kerana sekiranya mereka mampu memberi nilai tambah yang bermanfaat kepada Malaysia, maka peluang harus diberi kepada pemain-pemain ini.
Kehadiran pemain-pemain ini bukan saja bakal menambah squad depth untuk pasukan kebangsaan. Malah, mereka akan memberi pilihan berbeza kepada Pan-gon dari segi taktikal permainan.
Dengan Malaysia bakal mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023, penambahan pemain berkualiti terutama pemain naturalisasi akan membantu Pan-gon dalam mencorak strategi Harimau Malaya.
“Kita tak tahu lagi (bila) calon-calon pemain naturalisasi (mendapat pasport). Harapnya, mereka dapat memberi (nilai tambah) yang baik kepada kita dari segi fizikal dan keupayaan serangan.
“Kita akan lihat bila mereka mendapat pasport,” katanya kepada media selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2023 yang diadakan di Wisma FAM pada Selasa lepas.
Ketika ini, dua pemain yang sedang menjalani proses naturalisasi ialah bek tengah Terengganu FC, Argzim Redzovic dan penyerang KL City FC, Romel Morales.
Sekiranya proses naturalisasi kedua-duanya berjaya dimuktamadkan, mereka akan menjadi kelompok pemain naturalisasi terbaru yang menyarung jersi skuad kebangsaan.
Malaysia sudah mempunyai beberapa pemain naturalisasi seperti rakan sepasukan Morales di KL City FC, Paulo Josue, Endrick dos Santos, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.