Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia tampil memberikan respon terbuka terhadap kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal yang mendakwa mempunyai solusi bagi menangani isu kewangan dalam Liga Malaysia.
Menurut Garcia, beliau menyambut baik cadangan tersebut dan berpandangan satu sesi perbincangan bersama semua kelab wajar diadakan bagi memperhalusi idea yang dikemukakan.
“Saya tertarik dengan kenyataan terbaru Dr Johan Kamal bahawa beliau mempunyai penyelesaian bagi masalah kewangan dalam Liga Malaysia. Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan kerana kita perlu mengetahui apakah idea penyelesaian beliau,” kata Luis Garcia.
Dalam masa sama, Garcia turut menegaskan beliau sendiri mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa, termasuk bekerjasama dengan organisasi bola sepak bertaraf dunia, justeru beliau ingin memahami dengan lebih mendalam solusi yang dimaksudkan.
“Saya berbesar hati dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa serta bekerja dengan organisasi-organisasi bertaraf dunia, dan saya amat ingin mengetahui apakah penyelesaian yang dimiliki oleh Dr Johan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau dalam bola sepak Malaysia dan antarabangsa,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, perbincangan secara terbuka antara semua pasukan dalam Liga Malaysia amat penting bagi memastikan sebarang cadangan yang dibawa benar-benar praktikal serta mampu memberi impak positif kepada kelangsungan liga.
Beliau turut berharap agar sesi perbincangan tersebut dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi kebaikan bersama semua pihak yang terlibat dalam ekosistem bola sepak tempatan.
Kenyataan ini hadir susulan pendedahan Dr Johan sebelum ini yang mendakwa pihaknya mempunyai jalan penyelesaian terhadap isu kewangan yang membelenggu beberapa kelab dalam Liga Malaysia, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat dan penggiat bola sepak tempatan.