Pengurus skuad bawah 16 tahun negara, Christopher Raj mengambil tanggungjawab penuh di atas penyingkiran Malaysia di peringkat kumpulan Asean U-16 Boys Championship dan bersedia mempertaruhkan jawatannya demi membawa pasukan layak ke Piala Asia B-17.
Skuad muda negara mengakhiri peringkat kumpulan C di tempat ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Timor Leste dan dua kekalahan sekaligus menutup peluang untuk mara ke separuh akhir kejohanan tersebut.
Anak-anak buah Javier Jorda membuka kempen dengan langkah kanan setelah membelasah Timor Leste 5-0, namun terpaksa akur tunduk 0-2 kepada Australia dalam aksi kedua sebelum menutup saingan dengan kekalahan 1-3 kepada Thailand semalam.
Christopher Raj selaku pengurus pasukan muda negara dalam satu kenyataan memaklumkan, para pemain dan staf kejurulatihan telah berusaha sehabis baik namun hanya sedikit kesilapan kecil yang perlu diambil pelajaran pasukannya itu.
“Kami sudah berusaha sehabis baik tetapi diakui ada kesilapan diatas padang namun ia mash boleh diperbaiki lagi di masa depan,” tulis Christopher Raj di laman Instagram beliau.
Oleh itu, bagi beliau, tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada para pemain memandangkan mereka masih muda dan memerlukan sokongan ramai pihak demi menaikkan motivasi di masa akan datang.
“Tidak adil jika semua kritikan hanya tertumpu kepada pemain. Kerana pada hakikatnya mereka mash muda dan perlukan kritikan yang membina untuk menaikkan semangat bukannya kritikan berbentuk tohmahan semata.”
Selaku pengurus, beliau tampil mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan Malaysia di aksi kumpulan ini dan berjanji akan membawa pasukannya itu beraksi kebih baik dalam kempen Kelayakan Piala Asia pada Oktober nanti.
“Lantaran itu, saya selaku pengurus pasukan mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan ini. Saya berjanji skuad negara yang dibawah kendalian saya in akan tampil lebih baik di saingan seterusya, iaitu Kelayakan Piala Asia nanti.”
“Tahun lalu, skuad negara berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023. Maka tidak mustahil kami berjaya melakukan sekali lagi,” tambah beliau yang juga merupakan salah seorang exco di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Walau bagaimanapun, jika ditakdirkan skuad muda negara tidak berjaya melepas peringkat kelayakan nanti, beliau bersedia menyerahkan jawatannya itu kepada orang yang lebih layak membawa pasukan Malaysia mencapai misi ke Piala Dunia.
“Bagaimanapun sekiranya gagal, saya akan mengundur diri untuk memberi peluang kepada muka baru menggalas tanggungjawab ini membawa skuad negara ke peringkat lebih tinggi sehingga mencapai misi ke Piala Dunia.”
Selepas ini, pasukan Malaysia bawah 16 tahun bakal memberikan tumpuan sepenuhnya bagi aksi Kelayakan Piala Asia Bawah 17 tahun di Laos bagi memburu tempat ke pusingan akhir yang menawarkan slot ke Piala Dunia B-17 di Qatar.
Dalam aksi kelayakan itu nanti, skuad muda negara akan membuka saingan menentang Lubnan pada 23 Oktober sebelum berdepan satu lagi wakil Timur Tengah, Emeriah Arab Bersatu pada 25 Oktober dan menutup kempen dengan bertemu tuan rumah, Laos dua hari kemudian.