Cristiano Ronaldo Bakal Terima Gaji RM76.9 Juta Sebulan
Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Selepas meninggalkan Manchester United secara persetujuan bersama pada akhir November lalu, pelbagai khabar angin mengaitkan Cristiano Ronaldo dengan kelab-kelab yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya. Tetapi wujud kemungkinan destinasi terbaru legenda Portugal itu ialah Arab Saudi.

Mengikut laporan Marca, Ronaldo dikatakan telah menerima kontrak dua setengah tahun dengan kelab Saudi, Al-Nassr dengan nilai sebanyak £172.9 juta (RM922.7 juta) atau gaji RM76.9 juta sebulan. Kontrak sebegitu membenarkan bekas graduan Sporting Lisbon itu meneruskan kariernya sehingga mencecah usia 40 tahun.

Disebabkan nilai kontrak yang sebegitu rupa, tiada kelab Eropah atau MLS cuba menandingi nilai kontrak yang ditawarkan. Sebelum ini, Ronaldo dikaitkan dengan kelab-kelab elit Eropah dari Chelsea hingga Bayern Munich tetapi semua kelab ini tidak berminat untuk membawanya ke dalam pasukan mereka.

Advertisements

Tetapi menurut wartawan sukan terkenal Fabrizio Romano, Ronaldo masih belum memutuskan sama ada untuk menerima kontrak Al-Nassr atau tidak. Ini sebahagian besar perjanjian membabitkan perjanjian penajaan termasuk membabitkan hak imej. Justeru, peguam Ronaldo mahu mengetahui sama ada isu imej legenda Portugal itu dapat dipersetujui atau tidak sebelum sebarang rundingan diteruskan.

Al-Nassr merupakan antara kelab yang paling berjaya di Arab Saudi dan bergelar juara liga domestik negara itu sebanyak sembilan kali. Kali terakhir Faris Najd menjulang kejuaraan ialah pada tahun 2019 di bawah bimbingan jurulatih Portugal, Rui Vitoria. Ketika ini, kelab dibimbing oleh bekas jurulatih Lille dan Olympique Lyon, Rudi Garcia.

Jika Ronaldo menyertai Al-Nassr, beliau akan menyertai beberapa nama besar di kelab berkenaan seperti bekas penjaga gol Arsenal, David Ospina, bekas penyerang Porto, Vincent Aboubakar dan pemain tengah Brazil Luiz Gustavo. Legenda Portugal itu juga tidak merasa terasing di Faris Najd kerana lapan daripada 12 staf kelab berkenaan berasal dari Portugal.

Advertisements

Yang pasti, buat masa ini, fokus Ronaldo ialah membantu Portugal berjaya dalam Piala Dunia 2022. Sebarang keputusan tentang masa depannya hanya akan dibuat selepas kejohanan berakhir termasuk cadangan kontrak Al-Nassr. Tetapi jika perpindahan ini benar-benar berlaku, ia bakal menambah kemeriahan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram