Walaupun terpaksa menjadi penonton susulan penggantungan dua perlawanan, itu tidak menghalang Cristiano Ronaldo daripada menyatakan sokongan terhadap kelab barunya, Al-Nassr.
Dalam perlawanan terbaru liga Al-Nassr semalam, Faris Najd mudah menundukkan lawan mereka 2-0. Kemenangan tersebut melebarkan jurang mata mereka sebagai pendahulu liga kepada lima mata.
Sebelum perlawanan, Ronaldo diperkenalkan kepada para penyokong sebelum dibawa ke ruang tempat duduk VIP. Difahamkan, legenda Portugal itu turut menyertai perbincangan teknikal dan memberi kata semangat kepada rakan-rakan sepasukan di bilik persalinan sebelum perlawanan.
Pada babak kedua, Ronaldo menonton perlawanan di bilik persalinan sambil menunggang basikal senaman. Di sinilah, bekas penyerang Manchester United itu bersorak riang apabila Faris Najd menyumbat gol kedua bagi mengesahkan kemenangan mereka.
Begitupun, tidak ramai yang turun menonton perlawanan Al-Nassr semalam. Selain faktor cuaca hujan lebat, ketiadaan kelibat Ronaldo turut mendorong sesetengah penyokong untuk tidak turun ke stadium.
Ramai menjangkakan Ronaldo akan diturunkan pada awal pagi 23 Januari iaitu perlawanan Al-Nassr menentang Ettifaq. Tetapi dengan Faris Najd mempunyai terlalu ramai pemain import, seorang pemain perlu dilepaskan bagi membolehkan legenda Portugal itu didaftarkan dan boleh beraksi atas padang.
Dikhabarkan satu nama yang dipertimbang untuk dijual atau dipinjamkan oleh Al-Nassr bagi memberi laluan kepada Ronaldo ialah Vincent Aboubakar. Ironinya, Manchester United dikatakan berminat membawa penyerang Cameroon itu secara pinjaman ke Old Trafford.
Jika itu gagal dilaksanakan sebelum Ronaldo selesai menjalani penggantungan dua perlawanan, maka bekas penyerang Real Madrid itu perlu menunggu lama sebelum dapat membuat kemunculan pertama.