Bagi membantu mengekalkan kecergasannya, Cristiano Ronaldo berlatih di pusat latihan Real Madrid – empat tahun selepas meninggalkan Los Blancos. Ronaldo berlatih secara bersendirian sementara menunggu tawaran dari kelab-kelab selepas menamatkan kontrak secara bersama dengan Manchester United.
Legenda Portugal itu meminta kebenaran berlatih di Valdebebas dengan presiden kelab, Florentino Perez selepas A Selecao tersingkir dari suku akhir Piala Dunia 2022. Perez dikatakan memberi kebenaran kepada beliau menggunakan kemudahan di situ sambil berkata, “Mestilah, ini rumah kamu.”
Ronaldo menempa nama sebagai penyerang berbisa semasa tempoh sembilan tahunnya bersama Real Madrid selepas berpindah dari Red Devils. Dalam tempoh tersebut, beliau menjulang dua kejuaraan La Liga dan empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah. Begitupun, semasa di Valdebebas, Ronaldo akan berlatih berasingan dan tidak bercampur dengan pasukan utama yang dibimbing Carlo Ancelotti.
Ronaldo dan Perez mempunyai hubungan yang baik walaupun selepas bekas penyerang United itu mengeluarkan kritikan pedas terhadap presiden Los Blancos itu pada 2018. Dalam temubualnya bersama France Football ketika itu, beliau berkata, “Saya dapat rasakan dalam kelab, terutama daripada presiden, mereka tidak lagi mempertimbangkan saya seperti mana yang mereka lakukan pada awalnya.
“Dalam tempoh empat atau lima tahun pertama, saya merasai perasaan ‘menjadi Cristiano Ronaldo’. Ia berkurangan selepas itu. Presiden melihat saya melalui mata yang tidak mahu mengatakan perkara sama, seperti saya ini tidak lagi boleh digugurkan untuk mereka, jika anda tahu maksud saya. “
Selepas menamatkan kontrak bersama United, drama yang menyelubungi Ronaldo musim ini seakan tidak berakhir. Walaupun menjadi sebahagian daripada skuad Piala Dunia Portugal, beliau kemudiannya diletakkan di bangku simpanan untuk perlawanan menentang Switzerland dan Maghribi. Walaupun diturunkan sebagai pemain gantian, Ronaldo tidak memberi kesan kepada prestasi pasukan.
Dengan usianya bakal mencecah 38 tahun tidak lama lagi, pilihan kelab yang mahu disertainya semakin sedikit. Hal ini tidak dibantu dengan pertelagahan Ronaldo dengan ejennya, Jorge Mendes berkenaan destinasi terbaru legenda Portugal itu. Disebabkan pertelagahan ini, sesetengah kelab lebih suka berjumpa dengan Ronaldo secara terus daripada berurusan dengan Mendes.
Antara pihak yang berminat mendapatkan khidmat bekas penyerang Sporting Lisbon itu ialah Qatar Stars League menerusi pengerusi liga, Antero Henrique. Henrique dikhabarkan mahu Ronaldo mempertimbang cadangan beraksi di liga Qatar. Dengan tuntutan gaji melebihi £500,000 (RM2.72 juta) seminggu, hanya beberapa kelab saja yang mampu menawarkan gaji sedemikian kepada penyerang veteran itu.