Hari bahagia Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez akhirnya tiba apabila pasangan itu dilaporkan melangsungkan perkahwinan pada awal pagi Rabu selepas pasangan tersebut memuat naik sebuah gambar memakai cincin di laman Instagram masing-masing.
Kisah cinta Ronaldo dan Georgina bermula pada tahun 2016 apabila kedua-duanya bertemu ketika Georgina bekerja di sebuah kedai Gucci di Madrid, sebelum hubungan mereka berkembang menjadi salah satu kisah cinta paling dikenali dalam dunia sukan dan hiburan.
Selepas menjalinkan hubungan selama beberapa tahun, Ronaldo akhirnya melamar Georgina pada Ogos tahun lalu dengan sebentuk cincin berlian besar, malah Georgina turut berkongsi gambar cincin tersebut dengan kapsyen “Saya setuju” sebagai tanda menerima lamaran itu.
Ronaldo sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Georgina selepas Piala Dunia, sambil menyifatkan wanita berusia 32 tahun itu sebagai insan yang paling dicintainya dan individu yang mahu dibawanya ke fasa kehidupan seterusnya.
Hubungan mereka turut dikurniakan cahaya mata apabila Georgina menjadi ibu kepada tiga daripada enam anak Ronaldo, selain sentiasa berada di sisi bintang Portugal itu dalam perjalanan kariernya di peringkat tertinggi.
Makluman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai perkahwinan mereka yang hangat selepas Ronaldo dan Georgina dilihat memakai cincin berlian besar ketika menaiki kapal layar di Mallorca, dengan cincin Ronaldo dikatakan menyerupai cincin yang pernah diberikannya kepada Georgina.
Menurut laporan media, majlis tersebut dikatakan berlangsung di lokasi terkenal Cascais, sebuah bandar peranginan pantai berhampiran Lisbon, Portugal dengan beberapa nama besar dunia bola sepak, muzik dan hiburan dikatakan menjadi tetamu jemputan.
Antara nama yang dikaitkan hadir termasuk Piers Morgan, Rio Ferdinand, Jennifer Lopez, Drake, Rihanna, Van Diesel, Khabib Nurmagomedov, IShowSpeed, Kylian Mbappé dan Vinícius Júnior, namun senarai tersebut masih belum disahkan secara rasmi.
Sehingga kini, maklumat sepenuhnya mengenai perkahwinan antara Cristiano Ronaldo & Georgina Rodriguez masih belum diumumkan secara terperinci oleh kedua-dua pihak.