Perak FC 2023 mungkin dibarisi pemain-pemain yang tidak berprofil tinggi, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk memandang enteng skuad kendalian Lim Teong Kim itu.
Ketegasan Lim Teong Kim dan disiplin tinggi yang diterapkannya, diyakini akan berupaya menjadikan the bos gaurus sebagai satu daripada pasukan ‘biasa-biasa’ yang perlu diberi perhatian.
Berita Berkaitan : Jangan Pandang Lim Teong Kim Sebelah Mata Hanya Kerana Dia Tiada Pengalaman
Pemain sayap yang baru menyertai Perak, Sunil Chandran mengakui jika ada satu faktor yang mampu membuatkan kesemua pemain tampil all-out memberikan segalanya ketika sesi latihan, ia adalah faktor Lim Teong Kim.
“Sebelum ini saya bersama PJ City, tenyata berlatih di bawah Teong Kim cukup berbeza berbanding sebelum ini. Beliau merupakan jurulatih yang sangat memahami pemain dan cukup teliti dalam setiap perkara di atas padang, jadi kita tidak boleh main-main sebab beliau sangat menitikberatkan disiplin yang tinggi.
“Saya boleh nampak keterujaan pemain-pemain lain untuk memulakan musim 2023 dan bagaimana pemain muda ini menunjukkan kesungguhan cukup mengagumkan. Coach Lim Teong Kim membantu setiap pemain untuk menyerlahkan potensi terbaik yang ada dalam diri mereka”, jelasnya.
Masalah kewangan kritikal telah menyaksikan Perak mengharungi musim terburuk dalam sejarah bolasepak mereka apabila tersingkir ke Liga Premier pada 2021.
Pasukan penuh tradisi dalam Liga Malaysia itu kemudiannya mengharungi musim 2022 yang cukup suram malah dipotong sembilan mata kerana kegagalan menyelesaikan tunggakan gaji dan akhirnya menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan kedua tercorot, hanya dipisahkan beza jaringan dengan pasukan tangga tercorot Skuad Projek FAM-MSN.
Setelah diambil alih XOX Berhad pada Mei beberapa pembaharuan telah disaksikan termasuk pengurusan lebih efisyen, pertukaran barisan kejurulatihan dan rombakan barisan pemain dalam usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu.