Kelibat dua calon pemain naturalisasi Malaysia, Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo mula menjadi tumpuan di hujung minggu ini dengan sentuhan berbisa yang tersendiri.
Bergson diberi peranan penting oleh ketua jurulatih, Hector Bidoglio bagi mengetuai jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik Piala Malaysia bertemu KL City.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, Bergson mencipta sensasi apabila meledak dua jaringan untuk membantu JDT meraih kemenangan 4-0 dan berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia
Gol pertama Bergson dihasilkan menerusi rembatan kencang kaki kiri dari sudut yang sukar untuk menewaskan Azri Ghani sebelum sepakan penalti ala panenka melengkapkan petang gemilang.
Untuk rekod, koleksi jaringan Bergson kini bertambah kepada 30 gol dalam 28 perlawanan musim ini dengan tambahan 2 lagi ketika bertemu KL City selain turut melakukan 5 assist.
Sementara di Temerloh, Hidalgo turut mencipta nama apabila berjaya meledak hatrik untuk membantu Sri Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia dengan menyingkirkan Perak 4-3.
Hidalgo yang dipinjamkan dari JDT hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol pertama sebelum menyudahkan 2 sepakan penalti di penghujung babak pertama bagi meraih hatrik.
Dua gol di laman sendiri itu menyaksikan Hidalgo kini sudah mengumpul 4 jaringan dan 4 bantuan gol dalam kesemua 15 perlawanan bersama Sri Pahang pada musim 2024 ini.
Sebelum ini, Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memberikan petanda bakal menaturalisasikan Bergson dan Hidalgo bagi projek revolusi Harimau Malaya.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi 5 tahun di Malaysia. Hidalgo juga sebagai pelan jangka panjang dengan pemain lain yg ada,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.