Seorang ejen FIFA menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar proaktif dalam membanteras isu tunggakan gaji pemain.
Saranan ini dibuat ejen pemain, Dr Faidauz Azhar apabila mengulas isu berkenaan dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) kembali panas apabila beberapa pemain import meninggalkan pasukan mereka.
Antara pemain yang berbuat demikian ialah penyerang import Sabah, Ramon Machado. Sementara pemain tengah Sri Paahng FC, Kuvondik Ruziev pula dilaporkan akan kembali ke Uzbekistan.
Faidauz sedar sesetengah laporan tunggakan gaji timbul menerusi laporan media. Atas sebab itu, beliau menggesa FAM dan MFL proaktif dalam mengenal pasti pasukan-pasukan yang bermasalah.
Ini termasuklah bekerjasama dengan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) untuk membantu pemain-pemain yang terjejas.
“Tapi sudah tentu bila tiada laporan daripada pemain-pemain, PFAM tak boleh ambil tindakan. Cadangan saya, kedua-dua pihak (FAM dan MFL) perlu lebih proaktif.
“Mungkin kalau ada berita yang disiarkan oleh media, pihak PFAM boleh bertanya kepada pemain atau pasukan. Sebab kalau tak perkara ini dibiarkan, jadi macam itulah (akan terus berlarutan),” katanya dalam Nadi Arena.
Isu tunggakan gaji ini turut mendapat perhatian Presiden PFAM dan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali. Safee menyifatkan pihak yang terlibat patut bertanggungjawab demi menjaga kebajikan pemain.