Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menafikan sekeras-kerasnya bahawa presiden dan bendahari badan induk itu ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (US).
Ini berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan AFA di laman sesawang rasmi badan induk berkenaan.
AFA menegaskan presiden dan bendahari badan induk itu, Claudio Tapia dan Pablo Toviggino tidak ditahan di Lapangan Terbang John F. Kennedy (JFK) sebelum berlepas pulang ke Argentina seperti yang dilaporkan media.
AFA juga memaklumkan tiada peranti elektronik termasuk telefon bimbit dirampas daripada kedua-dua figura itu. Badan induk bola sepak Argentina itu turut menafikan Tapia dan Toviggino perlu hadir ke mahkamah.
Pada masa sama, AFA turut mengakui siasatan yang dijalankan pihak berkuasa US berhubung isu skandal dana berjumlah €260 juta (RM1.3 bilion).
Walau bagaimanapun, badan induk itu menegaskan siasatan yang dijalankan ketika ini hanya membabitkan pihak ketiga dan tiada kena-mengena dengan AFA.
AFA kini disiasat pihak berkuasa US berhubung aliran wang mencurigakan membabitkan entiti yang bertanggungjawab menguruskan kutipan wang badan induk itu, TourProdEnter LLC.
Selain siasatan di US, AFA turut berdepan siasatan sama di Argentina. Tapia yang menerajui AFA sejak 2017 juga berdepan pelbagai tuduhan termasuk pengubahan wang haram dan mengelak cukai.
Presiden badan induk itu juga memiliki hubungan buruk dengan Presiden Argentina, Javier Milei. Tapia menolak usaha Milei menswastakan kelab-kelab bola sepak di negara itu selain melabel siasatan ke atas AFA bermotifkan politik.