Advertising
Fairuz Zakaria Berisiko Digantung Selepas Tunjuk Isyarat Kurang Sopan
MakanBola
Penang FC

Pemain pertahanan Penang FC, Fairuz Zakaria berdepan risiko digantung enam perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menunjukkan isyarat kurang sopan.

Nama pemain pertahanan berusia 27 tahun itu menjadi tumpuan susulan tindakannya dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2024 antara Penang dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 28 Jun lalu.

Ad

Selepas tindakannya mengasari Zamri Pin dikesan pengadil, Ahmad Zuhadi Dzulkifli, Fairuz dibuang padang pada minit ke-88. Beliau yang tidak berpuas hati kemudian menolak muka Habib Haroon sebelum ditenangkan kapten, Rafael Vitor.

Ad

Sebelum meninggalkan padang, Fairuz dikesan menunjukkan isyarat kurang sopan kepada pengadil. Insiden ini menjadi bualan ramai kerana ini insiden terbaru di mana pemain bola sepak negara menunjukkan isyarat kurang sopan di stadium.

Susulan itu, Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat pertuduhan kepada Fairuz di mana ia perlu dijawab sebelum atau pada 10 Julai ini.

Ad

Perkara ini dikongsikan oleh Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew apabila diminta mengulas isu disiplin membabitkan bekas pemain Sang Kenari itu kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom untuk Nadi Arena.

Ad

“Secara ringkasnya, surat itu ditujukan kepada Fairuz Zakaria mengenai tingkah lakunya ketika minit ke-88 perlawanan menentang Kedah di Stadium Bandaraya.

Ad

“Dia dituduhkan menunjukkan isyarat kesat dan tidak senonoh dan dia diberikan masa untuk tunjuk sebab sebelum pihak FAM membuat keputusan mengenai hukuman terhadap kesalahan yang dilakukannya dalam surat tersebut.

“Dia diberikan tempoh seminggu dan pada 10 Julai ini, dia mesti sudah menjawab surat itu. Dia mempunyai hak untuk membalasnya atau tidak tetapi pihak pengurusan mengarahkannya untuk menjawab surat itu,” katanya.

Jeffrey turut berharap insiden ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pemain agar dapat mengawal emosi dan mematuhi peraturan perlawanan.

“Kami sebagai sebuah kelab juga berharap semua pemain dapat mengikut apa peraturan yang sudah ditetapkan.

“Jika dia benar-benar bersalah, kami sebagai kelab akan mebuat keputusan terbaik untuk mengingatkan pemain itu dan pemain lain bahawa kami tidak akan beroleransi terhadap kelakuan seperti itu,” tambahnya.

Kedah dan Penang ketika ini berentap untuk aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 di Stadium Darul Aman.