Kapten Selangor FC, Faisal Halim menyifatkan trofi Penyerang Terbaik yang diterima dalam Liga M Awards sebagai satu trofi bermakna buat dirinya.
Faisal melihat trofi tersebut sebagai simbol kebangkitan beliau dalam musim 2025/26. Bisa bintang Harimau Malaya itu terserlah apabila meledakkan 17 gol dan mencipta 12 bantuan gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Trofi yang cukup bermakna terutamanya selepas musim yang mencabar untuk saya bangkit hingga ke tahap ini.
“Ia bukan mudah, tapi saya cuba sedaya upaya, bekerja keras untuk tolong pasukan dan Alhamdulillah atas kejayaan trofi malam ini.
Kejayaan ini sudah tentu untuk semua penyokong Selangor dan keluarga saya,” kata pemain sayap berusia 28 tahun itu.
Selepas tercalon sebanyak empat kali iaitu 2020, 2021, 2022 dan 2023, Faisal akhirnya berjaya meraih trofi tersebut dalam pencalonan kali kelima.
Meskipun mendapat anugerah Penyerang Terbaik, Faisal enggan berpuas hati. Sebaliknya, beliau mahu terus bekerja keras agar dapat kembali berada di tahap seperti dulu.
“Walaupun hari ini saya menang Penyerang Terbaik, saya tak rasa saya sampai tahap seperti dulu. Saya masih mencari rentak, saya masih bekerja keras untuk mahu menjadi pemain terbaik,” tambahnya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Faisal bukan satu-satunya pemain Selangor yang mendapat anugerah dalam Liga M Awards.
Selain beliau, Quentin Cheng turut dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik. Quentin merangkul anugerah itu buat kali pertama sejak mendapat pencalonan sebanyak tiga kali.