Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia melihat falsafah bola sepak Sepanyol sebagai kunci kecemerlangan akademi pasukan itu.
Rahsia itu dikongsikan legenda Liverpool itu apabila diminta mengulas kehadiran ramai staf kejurulatihan Sepanyol dalam struktur organisasi pasukan itu.
Garcia melihat kehadiran ramai staf kejurulatihan Sepanyol seiring dengan usaha berterusan JDT menaikkan taraf bola sepak negara terutama di Johor.
Selain bertujuan menerapkan unsur profesionalisme dalam kalangan pemain muda, ia turut memperlihatkan impak kepada Malaysia jika memiliki program kejurulatihan dan falsafah bola sepak yang bersifat jangka panjang.
“Kami ingin meningkatkan tahap bola sepak Malaysia dan mempunyai akademi yang hebat. Kami membawa jurulatih Sepanyol ke akademi supaya kami dapat menunjukkan gaya kerja profesional yang terbaik dengan lebih dekat.
“Kemenangan Sepanyol di Piala Dunia menunjukkan kepada anda nilai mempunyai program kejurulatihan dan falsafah bola sepak yang berlangsung selama 25-30 tahun,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Falsafah Sepanyol membantu pasukan akar umbi JDT mengungguli kejuaraan saban tahun seperti mana yang dilakar oleh skuad senior. Tahun 2025 sahaja menyaksikan gelaran Piala Belia dan Piala Presiden masing-masing diungguli JDT III dan JDT IV.
Lebih menarik, sentuhan dua orang kuat akademi JDT, Javier Jorda Ribera dan Gonzalo Sanz Zaballos turut membantu membentuk bintang Barcelona dan pemenang Piala Dunia, Ferran Torres.
Torres pernah dibimbing Ribera dan Zaballos ketika berada di akademi kelab LaLiga, Valencia. Bekas bintang Manchester City itu dibimbing mereka ketika beraksi untuk skuad Bawah 14 Tahun (B-14) dan B-16.
Ribera dan Zaballos kemudiannya membawa haluan ke Johor apabila Akademi JDT-Valencia ditubuhkan pada tahun 2017. Kedua-duanya terus kekal bersama JDT sehingga hari ini dengan memikul peranan berbeza.
Ribera yang juga bekas jurulatih Malaysia B-17 kini menggalas tugas sebagai Pengarah Akademi JDT. Zaballos pula bertugas sebagai Ketua Akademi untuk bahagian ‘Methodology & Scouting’.